Patah bahu tak luntur semangat Rahadiazli

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Empat kali mengalami kecederaan serius pada bahu menjadi antara detik sukar yang terpaksa dilalui penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim sebelum dia dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya.

Penjaga gol Terengganu FC (TFC) berusia 20 tahun itu bagaimanapun menegaskan dia bersyukur kerana mendapat sokongan atau motivasi daripada keluarga untuk meneruskan kerjaya dalam bola sepak.

“Sebelum ada dekat sini (bersama Harimau Malaya), banyak saya alami kecederaan yang agak serius. Antaranya (kecederaan) bahu, sudah empat kali.

“Tingkatan tiga (patah bahu), tahun lepas dengan Kedah sebelah kiri, yang itu cuma kecederaan pada tisu. Semangat daripada keluarga buat saya terus bermotivasi,” katanya semalam.

Rahadiazli dicanang sebagai bintang muda masa depan Harimau Malaya bersama beberapa pemain muda lain termasuk Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi.

Selain itu, Rahadiazli mengakui dia perlu menggunakan peluang berlatih bersama Harimau Malaya untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman dalam meningkatkan lagi prestasi.

“Saya dapat banyak pengalaman sebab ada penjaga gol berpengalaman seperti Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat dan Khairulazhan Khalid.

“Memang sangat jauh jurang saya dengan mereka, tapi saya cuba ambil pengalaman mereka bagi seimbang walaupun saya tahu banyak lagi yang saya perlu belajar.

“Saya tak rasa ketinggian yang saya miliki sebagai kelebihan, apa yang penting saya perlu belajar lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd