PATI bertempiaran lari nampak 'black maria'

Klang: Warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari sebaik melihat tiga trak ‘black maria’ Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor yang melaksanakan Op Sasar masuk ke satu kawasan di Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

​Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohamad Khusairi Kamarudin berkata operasi itu dilakukan ke atas dua premis yang menyaksikan seramai 210 warga asing diperiksa.

Katanya, seramai 196 warga asing ditahan membabitkan 146 lelaki dan 50 wanita dari pelbagai negara.

​”Tangkapan membabitkan 72 lelaki dan 30 wanita Myanmar, lelaki India (58), wanita India (19), lelaki Bangladesh (9), lelaki Sri Lanka (4), lelaki Pakistan (3) dan seorang wanita Indonesia,” katanya pada sidang media di lokasi hari ini.

​Menurutnya, semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih bagi proses semakan lanjut.

​Katanya, kesemua yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk salah guna pas, tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan yang sah dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen.

​”JIM Selangor akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan justeru majikan disaran menggajikan pekerja warga asing yang sah.

​”Pastikan pekerja memiliki permit yang sah tidak sesuka hati ditukarkan ke tempat lain selain daripada tempat kerja yang didaftarkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top