PATI ditahan menceroboh di perairan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Sembilan pendatang asing tanpa izin warga Indonesia ditahan tentera kerana menceroboh masuk secara tidak sah ke dalam negara melalui laluan perairan.

Mereka ditahan antara jam 2.20 pagi hingga 8.15 pagi hari ini dalam Op Benteng di kawasan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

Menurut Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), pencerobohan itu dikesan selepas pihaknya menerima makumat pada jam 1.20 pagi daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota petugas Pos Pemerhati.

Maklumat yang diterima memaklumkan terdapat pergerakan bot yang mencurigakan sedang menghampiri kawasan persisiran pantai Ladang Sungai Tengah 1, Bandar Penawar, Johor.

Pada 2.20 pagi, pasukan telah mengatur gerak pasukan Tindakan Pantas (Tim Quick Reaction Force (QRF) untuk mengesan dan mengepung kawasan berkenaan sebelum hasil serbuan berjaya menahan 8 PATI,” kata markas dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, hasil penjejakan di sekitar kawasan berkenaan membolehkan lapan individu ditahan dan seorang lagi PATI ditahan ketika bersembunyi di hutan berhampiran Ladang Sungai Tengah.

Menurutnuya, kesemua individu yang ditahan adalah warga Indonesia yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua perempuan berusia antara 24 hingga 45 tahun.

Mereka dipercayai baru sahaja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah (jalan tikus).

“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM14,231.36 iaitu melibatkan wang tunai RM1,123.85 dan IDR8,901,300 (RM2,588.81) bersama tujuh buah telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas,” katanya.

Tambahnya, kesemua PATI itu ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia manakala laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai mengenai tangkapan itu. – MalaysiaGazette