suliati@hmetro.com.my
Pengertian Merdeka berbeza kepada setiap individu.
Bagi Pengasas dan Presiden Management and Science University (MSU) dan Kumpulan Kolej MSU Prof Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid, kemerdekaan baginya membawa pengertian kebebasan dari penjajahan khususnya dalam konteks menyemai semangat cintakan negara atau patriotisme.
Menurut figura yang cukup terkenal dalam bidang pendidikan ini, semangat patriotisme nilai terpenting untuk dihayati dalam kehidupan sebagai rakyat Malaysia.
Katanya, ia juga merujuk kepada perspektif rasa cinta dan kesetiaan terhadap negara khususnya penghargaan terhadap sejarah, budaya, dan warisan negara kita.
“Kemerdekaan juga adalah rasa cinta dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mempertahankan serta memajukan negara.
“Seterusnya, memastikan kemerdekaan yang diwarisi ini menjadi khazanah negara yang tidak boleh dijual beli serta terus dihargai,” katanya.
Dalam konteks pendidikan negara pula, Dr Mohd Shukri berkata, kemerdekaan membawa maksud setiap individu mendapat akses pendidikan yang sama rata kepada semua warga negara tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang.
“Ia turut meliputi aspek enrolmen penuh dari peringkat prasekolah, peringkat menengah atas serta peringkat pendidikan tinggi termasuk pendidikan berkualiti dan holistik yang bermatlamat melahirkan modal insan kompeten, berkemahiran insaniah serta versatil.
“Pencapaian aspek bidang pendidikan negara turut menyaksikan pelbagai transformasi dilakukan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) iaitu petanda penanda aras kepada komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam aspek kemajuan bidang pendidikan negara,” katanya.
Berkongsi pembabitan Dr Mohd Shukri dalam bidang pendidikan, ketokohan dan kepemimpinannya bermula diperingkat kolej sebelum dinaikkan taraf sebagai universiti, sekali gus menyaksikan MSU berjaya melalui transformasi menyeluruh bukan saja di peringkat domestik, tetapi juga global.
Pengiktirafan itu termasuk sebagai penerima pertama Asia Pacific Lifetime Achievement in Entrepreneurship Award dan Pioneering Leadership in Transformation Education oleh Accreditation Council for Entrepreneurial & Engaged Universities (ACEEU), SEBA Education Entrepreneur of the Year, Asia Pacific Entrepreneur of the Year serta Asia Pacific Award for Leadership in Human Capital Development oleh Asia Pacific Brands Foundation, The BrandLaureate.
Dengan misi menyediakan platform pendidikan berkualiti dan transformatif dalam memperkasa masa hadapan pelajar, melalui kepimpinan dan perancangan jangka panjang, MSU dan Kumpulan Kolej MSU kini membangun sebagai institusi pendidikan tinggi yang berjaya melahirkan modal insan yang kompeten, holistik serta memenuhi keperluan industri di dalam negara serta di peringkat global.
Fasa transformasi ini berterusan melalui pembukaan MSU Medical Centre (MSUMC), hospital pakar swasta yang melengkapi peranan MSU sebagai institusi pendidikan tinggi tersohor di Malaysia, rantau Asia serta global.
Selama 67 kemerdekaan Malaysia, perkara yang membanggakan Dr Mohd Shukri sebagai anak Malaysia ialah masyarakat majmuk yang inklusif dengan hidup secara harmoni serta saling melengkapi diantara satu sama lain.
Katanya, persefahaman yang dibentuk semenjak pasca kemerdekaan ini terus dipertahankan sehingga kini dan kepelbagaian kebudayaan unik yang tiada di mana-mana negara lain di dunia.
“Kepesatan pembangunan negara juga pada tahap yang boleh dibanggakan. Tidak hanya tertakluk kepada kehebatan kemajuan senibina, ekonomi dan teknologi, tetapi kemudahan infrastruktur moden dimiliki Malaysia antara termaju di Asia Tenggara.
“Malah, Malaysia menjadi contoh kepada negara lain dengan Keindahan panorama dengan flora dan fauna unik, lokasi pelancongan dan tempat bersejarah serta kepelbagaian makanan yang ada,” katanya.
Dengan kemerdekaan yang dikecapi ini, Dr Mohd Shukri berharap warisan kemerdekaan yang dinikmati hari ini akan terus dipertahankan dan rakyat negara ini sama-sama bersyukur serta menghargai nikmat kemerdekaan.
“Di peringkat MSU, tema sambutan kemerdekaan ke-67 ialah ‘MSU Jiwa Merdeka’ yang seiring dengan tema sambutan di peringkat kebangsaan iaitu Malaysia Madani, Jiwa Merdeka.
“Sambutan ini memberi peluang kepada semua warga MSU untuk bersama-sama mengekspresi semangat patriotik cintakan negara dan menjauhi elemen negatif sebaliknya secara integrasi untuk mencapai matlamat membangunkan negara dalam aspek sosial, masyarakat yang progresif serta hidup secara harmoni serta bersatu-padu,” katanya.
Semangat ini juga tambahnya, berjaya menginspirasi MSU untuk terus membangunkan warganya dan masyarakat seiring tagline MSU Transformasi Kehidupan, Memperkasakan Masa Hadapan semenjak lebih empat dekad yang lalu.
Manakala bagi memperkasakan seni budaya dan kepentingan Bahasa Kebangsaan yang melambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa khas dalam kalangan warga MSU, Malam Apresiasi Puisi Nusantara dianjurkan membabitkan Kerjasama antara MSU dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari dan Sasterawan Negara ke-15 Datuk Rahman Shaari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




