Putrajaya : Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha pelancongan yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan termasuk menyediakan pemandu pelancong berlesen bagi setiap perjalanan persiaran.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan baru-baru ini adalah berlandaskan peruntukan undang-undang dan bertujuan memastikan keselamatan pelancong sentiasa menjadi keutamaan.
Menurut beliau, berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), mana-mana perjalanan persiaran atau aktiviti pemanduan pelancong yang melibatkan kenderaan membawa pelawat bagi tujuan pelancongan hendaklah mempunyai lesen yang sah serta mematuhi ketetapan ditetapkan.
“Tugas pemandu adalah memandu kenderaan, manakala tugas pemandu pelancong adalah memberi penerangan dan menjaga kebajikan pelancong sepanjang perjalanan.
“Jadi saya tidak menggalakkan kenderaan pelancongan yang menjalankan perjalanan persiaran membenarkan pemandu memegang dua peranan serentak sebagai pemandu kenderaan dan pemandu pelancong.
“Ini kerana ia boleh menyebabkan pemandu gagal memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengemudi kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
King Sing turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang semasa dan bukan menyasarkan mana-mana pihak tertentu.
Sementara itu, menurutnya kementerian bersikap terbuka terhadap tafsiran atau cadangan berbeza yang dikemukakan pihak industri dan mengalu-alukan dialog meja bulat melalui saluran rasmi.
“Pada asalnya dimaklumkan bahawa memorandum akan dikemukakan kepada kementerian, namun sebaliknya memilih untuk membuat petisyen terbuka sebagai satu ‘pertunjukan umum’.
“Apakah niat di sebaliknya? Pendekatan sebegini tidak saya terima, kerana segala perkara sepatutnya dibincangkan secara tenang, rasional dan membina di meja rundingan,” katanya.
Beliau berkata, dalam usaha memajukan industri pelancongan negara, aspek keselamatan pelancong dan pembahagian tugas secara profesional tidak boleh dipandang ringan.
Tambah beliau, kementerian komited memastikan setiap operasi pelancongan mematuhi piawaian keselamatan dan keperluan undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, garis panduan yang dikeluarkan pada 2009 memperuntukkan pengecualian tatacara (administrative exemption) dalam keadaan tertentu, dengan mengambil kira keperluan operasi sebenar industri serta situasi pergerakan pelancong antara lokasi berbeza.
Menurutnya lagi, pengecualian khidmat pemandu pelancong terpakai secara automatik bagi perjalanan shuttle yang hanya membabitkan perkhidmatan pengangkutan dari satu lokasi ke satu lokasi (point-to-point) dengan jumlah pelancong tujuh orang ke bawah.
Beliau berkata, bagi kenderaan pelancongan yang membawa tujuh orang ke atas untuk tujuan pengangkutan, pengusaha hendaklah mengemukakan permohonan kepada Pesuruhjaya Pelancongan melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (TOURLIST) sebelum pengecualian boleh dipertimbangkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa industri pengangkutan pelancongan membabitkan dua sistem pelesenan, iaitu lesen kenderaan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta lesen syarikat pelancongan yang dikeluarkan oleh kementerian.
Katanya, perbincangan antara kementerian dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia kini berada di peringkat akhir bagi memperjelas had pengurusan lesen dan bidang kuasa penguatkuasaan, sekali gus memastikan piawaian lebih jelas dan seragam selaras dengan matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




