Patuhi pandangan Yang di-Pertuan Agong

Patuhi pandangan Yang di-Pertuan Agong

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Pembukaan semula Parlimen perlu digunakan sepenuhnya oleh Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata tumpuan perlu diberikan kepada usaha menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara seperti pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, kedua-dua perkara itu sangat penting berbanding membawa agenda politik yang boleh mengheret negara ke dalam krisis yang lebih buruk.

“Saya berharap persidangan Parlimen yang akan datang digunakan sepenuhnya oleh Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

“Ini selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya tumpuan diberikan kepada usaha menangani COVID-19 dan bukannya untuk agenda politik.

“PBRS mendokong dan memandang serius saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai keperluan memastikan kestabilan politik supaya kerajaan dapat berfungsi dengan lebih berkesan menangani COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara, untuk kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini menzahirkan pandangan agar Parlimen bersidang secepat mungkin, bagi membolehkan pelan pemulihan dan Ordinan Darurat dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Arthur yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), berkata PBRS menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Al-Sultan Abdullah serta menghargai keprihatinan baginda terhadap isu rakyat, khususnya di luar bandar Sabah.

Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, beliau menjelaskan mengenai keadaan ekonomi semasa dan kesan pandemik COVID-19 yang dihadapi rakyat luar bandar, khususnya di Sabah.

“Proses vaksinasi yang agak perlahan juga amat membimbangkan, khususnya bagi pedalaman Sabah yang kurang akses kepada pembangunan infrastruktur dan komunikasi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya kira-kira 10.25 peratus populasi di pedalaman Sabah sudah menerima vaksin, iaitu antara yang rendah berbanding kawasan lain di negeri ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top