Patuhi pekeliling, benarkan petugas hamil 22 minggu pulang awal – Dzulkefly

Patuhi pekeliling, benarkan petugas hamil 22 minggu pulang awal – Dzulkefly

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengingatkan semua pengurusan fasiliti kesihatan supaya mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membenarkan petugas hamil pulang lebih awal sebaik kandungan mencecah 22 minggu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan ketua jabatan dan penyelia tidak boleh mengambil tindakan bercanggah dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, meskipun berdepan kekangan.

“Saya sedar fasiliti kesihatan berdepan pelbagai cabaran, namun itu bukan alasan untuk melanggar peraturan.

“Sama ada membabitkan jururawat hamil atau pegawai lantikan kontrak termasuk MyStep, saya mahu semua pihak memberikan pematuhan penuh terhadap arahan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Inisiatif Cancer Care Closer to Community antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Roche Malaysia di sini, hari ini.

Sebuah media dalam talian sebelum ini melaporkan terdapat fasiliti kesihatan di Selangor tidak mematuhi pekeliling yang dikeluarkan JPA itu sebaliknya hanya membenarkan petugas hamil pulang awal apabila kandungan mencecah 36 bulan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, beliau memahami terdapat fasiliti kesihatan yang berdepan kekangan, namun ia tidak boleh dijadikan sebab untuk melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Saya mahukan sama ada isunya mengenai jururawat yang hamil khususnya dan juga MySteps yang dibangkitkan, sekali gus saya mahu semua ini diberikan kepatuhan.

“Siapa pun terutama yang mempunyai kuasa sebagai ketua jabatan atau orang yang menyelia dan sebagainya, sila patuh peraturan dan tidak mengambil langkah yang berlawanan dengan peraturan,” katanya.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017, menetapkan usia kandungan ‘lima bulan dan ke atas’ sebagai 22 minggu ke atas.

Pekeliling ini memperuntukkan kemudahan pulang awal satu jam kepada pegawai awam wanita yang mengandung 22 minggu ke atas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top