am@hmetro.com.my
Alor Setar: Cubaan pemandu Toyota Alphard melarikan diri dengan membawa kenderaan itu ke tepi bangunan untuk mengelak dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal selepas dia ditahan dalam operasi di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini, semalam.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, dalam kejadian jam 4 petang semalam, lelaki berusia 30-an itu berjaya dikesan anggota JPJ Alor Setar.
Beliau berkata, lelaki itu cuba melarikan diri lebih satu kilometer (km) namun berjaya ditahan di belakang sebuah bank di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini.
“Hasil semakan mendapati, kenderaan itu mempunyai lebih 20 saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tertunggak bernilai lebih RM6,000 selain tidak memiliki cukai jalan dan insurans sah.
“Lelaki itu memberi alasan saman itu baru muncul tahun ini menyebabkan dia ‘terkejut’ dan berharap pihak berkuasa memberi masa untuk dia membayar saman berkenaan, ” katanya di sini, hari ini.
Stien berkata, tindakan penguatkuasaan tetap diambil terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya.
Katanya, kenderaan itu akhirnya disita untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




