PAU 2025 diteruskan, perwakilan Sabah diberi kelonggaran

PAU 2025 diteruskan, perwakilan Sabah diberi kelonggaran

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: UMNO memutuskan untuk meneruskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2025) yang dijadualkan berlangsung pada 14 sehingga 17 Januari 2026 ini walaupun bertembung dengan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO akan memberi kelonggaran kepada perwakilan dari Sabah berikutan pertindihan tarikh itu sekali lagi.

“Keputusan Mesyuarat Biro Politik yang diangkat ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini memutuskan kita akan tetap teruskan Perhimpunan Agung UMNO sebagaimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

“Cuma kita memberikan kelonggaran kepada perwakilan dari Sabah sama ada mereka boleh datang secara fizikal ataupun kita akan buat secara atas talian (online) supaya mereka boleh juga (sertai) sebab tarikh itu adalah di tengah-tengah siri kempen.

“Insya-Allah saya kira semuanya sudah direncanakan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan High Innovation Product and Service Expo (HIPEX) 2025 di Kompleks MARA Halal Industrial Park (MIHP) di sini, hari ini.

Oktober lalu, UMNO memutuskan menangguhkan PAU 2025 kepada 14 hingga 17 Januari depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bagaimanapun, susulan kematian susulan kematian penyandang Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin pada 5 Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen dan DUN itu pada 24 Januari ini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 10 dan 20 Januari.

Sementara itu, susulan kenyataan UMNO berkemungkinan akan mengemukakan usul tergempar pada PAU 2025 bagi membincangkan pengeluaran MIC daripada Barisan Nasional (BN), Dr Asyraf Wajdi, berkata perkara itu perlu ditanya kepada Setiausaha Agung BN.

“Itu kena tanya Setiausaha Agung BN kerana ia melibatkan komponen BN,” jawabnya ringkas.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, UMNO berkemungkinan akan mengemukakan usul tergempar pada PAU 2025 bagi membincangkan pengeluaran MIC daripada Barisan Nasional (BN) susulan pertelagahan yang berlaku antara kedua-dua parti itu.

Usul berkenaan dijangka dibawa pada PAU ini berikutan isu tersebut dianggap sebagai perkara baharu yang timbul selepas Mesyuarat Agung UMNO Bahagian selesai diadakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top