am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: UMNO akan menjemput kepimpinan tertinggi PAS bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 12 September depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.
Beliau berkata, jemputan berkenaan adalah sebagai tanda penghormatan UMNO kepada PAS selain membalas jemputan yang diterima kepimpinan parti untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS.
“Mesyuarat bersetuju untuk memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS bagi menghadiri PAU 2026, sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin utama yang dijemput oleh parti itu untuk menghadiri Muktamar kali ke 72 parti itu pada 2 hingga 5 September depan.
Takiyuddin dilapor berkata, selain itu tiga lagi pemimpin tertinggi daripada parti itu turut dijemput.
Ahmad Zahid pada 23 Ogos lalu mengesahkan UMNO akan menghantar wakil ke muktamar berkenaan, namun parti itu ketika itu belum memutuskan individu yang akan mewakili UMNO.
Muktamar PAS ke-72 pula dijadual berlangsung di Kota Bharu, Kelantan dengan acara utamanya dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 4 September.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan akan menghadiri Muktamar Pemuda PAS pada 3 September depan.
Kehadiran beliau susulan jemputan Pemuda PAS kepada kepemimpinan Pemuda UMNO, sekali gus membuka ruang kepada kedua-dua sayap parti itu bertemu dan berinteraksi dalam program rasmi.
Mengulas lanjut berkenaan PAU 2026, Asyraf Wajdi berkata, MKT turut menetapkan tiga program utama untuk diadakan sehari sebelum perhimpunan itu, iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.
“Ketiga-tiga program yang dijadualkan berlangsung pada 8 September itu terbuka kepada orang awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
