am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: UMNO meletakkan empat syarat untuk menjalinkan kerjasama politik dalam konteks perpaduan Melayu dan Islam, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kerjasama itu perlu dianjurkan dengan niat ikhlas, bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu Islam.
Beliau berkata, kerjasama itu tidak boleh bersifat berjeda, terputus, bermusim atau bertujuan mengambil kesempatan atas kekuatan atau kelemahan UMNO.
Ini kerana, katanya, UMNO pernah dipermainkan dalam politik perpaduan Melayu-Islam dan sukar melupakan pengalaman itu, selain enggan ‘diperbudakkan’ sekali lagi.
“Kerana ini UMNO amat berhati-hati dan tidak mahu pengalaman buruk berulang. Pendirian UMNO sangat jelas. Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, insya-Allah.
“Justeru, penyatuan politik Melayu itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan dalam apa-apa keadaan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

