nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan mengenai pembahagian kerusi dan rakan kerjasama UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan ditentukan kepimpinan tertinggi parti.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkara itu antara mesej yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, hari ini.
“Beliau turut menyebut mengenai keputusan parti ini kita kena letakkanlah kepada pihak atasan parti untuk tentukan kerusi, rakan bersama untuk pilihan raya.
“Dan kita pun mengakui negeri dengan Pusat itu berlainanlah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Azalina berkata, ‘gelombang biru’ kini dapat dilihat sebagai satu kenyataan yang semakin jelas, namun penyatuan ahli perlu terus diberi keutamaan.
“Gelombang biru ini kita lihat memang satu gelombang yang menjadi satu kenyataan.
“Tetapi yang lebih penting adalah mendapatkan ahli parti untuk dapat mewujudkan penyatuan dan meletakkan fokus,” katanya.
Beliau berkata, sayap parti juga diharapkan dapat mengambil panduan daripada amanat Presiden bagi memastikan fokus dan penyatuan parti dapat diperkukuh menjelang PRU-16.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata amanat yang diberikan itu boleh dianggap sebagai satu petua dan mandat penting kepada parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Presiden memberikan satu petua dan mandat yang sangat penting untuk kita menghadapi hari-hari dan masa depan, khususnya bagi kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Bukan sahaja untuk PRN Melaka, tetapi untuk kita menghadapi pilihan raya di negeri-negeri yang lain termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti,” katanya.
Beliau berkata, UMNO dan BN tidak mustahil mengulangi kejayaan besar yang dicapai di Johor dan Negeri Sembilan dengan syarat wujud solidariti serta perpaduan dalam kalangan jentera dan pemimpin parti di semua peringkat.
Katanya, kesatuan itu perlu dijadikan pegangan oleh seluruh anggota parti bagi memastikan UMNO kembali bangkit dan meraih kejayaan dalam pilihan raya akan datang.
“Tidak mustahil untuk kita ulang kejayaan besar kita di Johor dan juga Negeri Sembilan dengan syarat adanya solidariti dan perpaduan dalam kalangan jentera dan juga pemimpin UMNO di semua peringkat.
“Kalau ini dapat dijadikan sebagai satu pegangan dan petua, insya-Allah UMNO akan kembali bangkit di semua peringkat dan kejayaan akan berpihak kepada UMNO, khususnya gelombang biru di semua peringkat,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata Ahmad Zahid turut memberi bayangan untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak yang sebelum ini pernah menjadi seteru politiknya.
“Presiden ada beri bayang-bayang (mengenai kerjasama). Mungkin UMNO akan pilih orang yang pernah bermusuh dengan kita, kita boleh berbaik balik.
“Orang yang dulu berbaik dengan kita mungkin tak boleh berbaik, tak boleh bekerjasama. Ya ada kemungkinan itu. Tapi tak terikat lah pada mana-mana pihak mana. Itu masing-masing fikir sendirilah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



