Paul bakal kembali bertarung

Paul bakal kembali bertarung

London: Jake Paul menyasarkan untuk kembali ke gelanggang pada tahun ini dan turun semula ke kategori cruiserweight selepas kekalahannya kepada Anthony Joshua, menurut pengasas bersama Most Valuable Promotions (MVP), Nakisa Bidarian.

Menurutnya, Paul kekal sebagai tonggak utama kepada pertumbuhan syarikat itu meskipun tewas kepada bekas juara heavyweight dunia, Joshua.

Paul ditewaskan oleh Joshua selepas pertarungan heavyweight itu diatur dalam tempoh singkat, sedangkan Paul pada asalnya sedang membuat persiapan untuk menentang Gervonta Davis menerusi kategori berat yang lebih rendah.

Pertarungan itu juga menandakan kekalahan pertama Paul pada peringkat heavyweight.

Paul berjaya bertahan selama enam pusingan menentang bekas juara dunia itu di Miami sebelum kekuatan tumbukan Joshua menyaksikan Paul dijatuhkan dua kali pada pusingan kelima dan dua kali juga pada pusingan keenam, yang menyaksikan pengadil menghentikan perlawanan.

Selepas pertarungan itu, Paul mendedahkan menerusi media sosial bahawa dia terpaksa makan menggunakan penyedut minuman selama seminggu dan beberapa batang giginya terpaksa dicabut akibat kecederaan dialami.

Memberi perkembangan mengenai keadaan dan mentaliti Paul, Bidarian berkata: “Dia berada dalam keadaan yang sangat baik. Dia mahu kembali pada 2026, tetapi yang lebih penting, kami berada di sini hari ini kerana Jake Paul.

“Sama ada dia berada di dalam atau di luar gelanggang, impaknya tetap dirasai.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top