London: Jake Paul mengumumkan menerusi media sosial semalam bahawa dia menjalani pembedahan kedua pada rahangnya.
Berita itu muncul kira-kira dua bulan selepas pempengaruh media sosial yang beralih ke dunia tinju itu tewas menerusi knockout pusingan keenam kepada bekas juara heavyweight dunia dua kali, Anthony Joshua.
Paul, 29, menjalani pembedahan sehari selepas pertarungan di Miami pada 19 Disember lalu.
“Terpaksa buat satu lagi pembedahan rahang. Skru dan plat mula longgar kerana nampaknya saya tidak berehat sepanjang dua bulan lalu,” tulis Paul di Instagram.
Selain memuat naik gambar dan video di hospital, Paul turut berseloroh dengan beberapa klip suntingan yang menggambarkan rahang mekanikal.
Dalam satu klip, dia berlakon seolah-olah menanggalkan sebelah rahangnya.
Walaupun berdepan situasi itu, Paul (12-2, 7 KO) masih mempunyai sebab untuk tersenyum.
Tunangnya, Jutta Leerdam, meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Milan, Cortina 2026 selepas memecahkan rekod Olimpik dalam acara luncur laju 1,000 meter wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




