Paula Verhoeven nafi curang

Paula Verhoeven nafi curang

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Selepas lama berdiam diri, pelakon juga isteri Baim Wong iaitu Paula Verhoeven, 37, tampil mempertahankan diri terhadap dakwaan curang yang didedahkan suaminya, beberapa minggu lalu.

Menerusi hantaran video dimuatnaik Paula di akaun Instagram (IG) miliknya, ibu dua cahaya mata lelaki itu kelihatan sedih dan kesal terhadap dakwaan curang dilemparkan kepadanya serta menafikan dengan tegas.

“Selama masa pernikahan sebagai isteri, saya sangat faham banyak kekurangan. Namun, dalam kesempatan ini saya ingin menegaskan bahawa berita perselingkuhan (curang) itu, tidak benar.

“Saya percaya, Allah maha mengetahui semua apa yang saya lakukan dan tidak saya lakukan, kerana semua perbuatan saya di dunia ini harus dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

“Saat ini bukanlah tahap yang mudah untuk kami, saya dan anak-anak. Oleh kerana itu, saya mohon doanya,” kata Paula menahan sebak sambil mengesat air matanya yang menitis.

Paula turut memohon maaf kepada anaknya, Kiano dan Kenzo dengan apa yang berlaku dalam keluarga mereka serta mengakui kasih sayangnya tidak akan pernah berkurang terhadap permata hatinya itu.

Katanya lagi, dia berharap semoga Allah melancarkan segala urusan mereka, termasuk memberi kemudahan dan menjaga kita semua di atas segala doa yang dimohonkan.

Sebelum ini, Baim menerusi sidang media dibuat mendedahkan punca dia mahu menceraikan Paula kerana mendakwa wanita itu sudah berlaku curang dengan salah seorang teman baiknya.

Baim memfailkan perceraian terhadap isterinya, Paula di Pengadilan Agama Jakarta Selatan, Indonesia pada 7 Oktober lalu.

Pasangan selebriti terkenal di negara jiran ini bernikah pada November 2018.

Selama enam tahun hidup bersama, mereka dikurniakan dua anak, Kiano, 3 dan Kenzo kini berusia dua tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top