Paulus puji langkah berani BAM

Paulus puji langkah berani BAM

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keberanian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merombak beberapa gandingan beregu kebangsaan disifatkan bekas jurulatih negara, Paulus Firman sebagai langkah tepat dalam usaha mengembalikan daya saing skuad negara di pentas antarabangsa.

Menurut pengendali skuad beregu Singapura itu, setiap perubahan memerlukan masa untuk dinilai dan tidak boleh dihukum sebelum pemain diberi peluang membuktikan kemampuan bersama pasangan baharu.

“Bagi saya, kita perlu tunggu dahulu hasilnya. Kalau tidak mencuba, kita tidak akan tahu sama ada ia menjadi atau sebaliknya. Saya sendiri pernah melakukan perkara yang sama ketika melatih dahulu.

“Dalam persaingan badminton hari ini, jurulatih perlu berani membuat perubahan. Tujuannya adalah untuk memberi suntikan baharu kepada pemain dan meningkatkan prestasi mereka,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Paulus kembali ke ABM minggu ini bersama tujuh pemain Singapura bagi menjalani kem latihan selama seminggu dengan skuad negara, termasuk beregu lelaki utama republik itu, Wesley Koh-Junsuke Kubo.

Kunjungan itu turut mengembalikan nostalgia buat jurulatih berusia 58 tahun berkenaan yang pernah mencurahkan khidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), malah menganggap ABM masih lagi rumah keduanya.

“Sudah empat tahun. Ini rumah kedua saya dulu. Rindu juga sebab saya tinggal dekat sini selama empat tahun. Macam balik rumah semulalah,” katanya.

Mengulas lanjut, Paulus berkata, membentuk gandingan baharu bukan tugas yang mudah kerana jurulatih perlu memastikan kedua-dua pemain mampu saling melengkapi dari segi karakter dan corak permainan.

“Saya percaya setiap jurulatih akan membuat penilaian sebaik mungkin. Mereka akan melihat kelebihan setiap pemain sebelum memutuskan siapa yang paling sesuai digandingkan. Bukan mudah hendak menjadikan dua pemain sebagai satu pasangan yang serasi,” katanya.

Paulus kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih bahagian beregu Singapura sejak 2022 dan mengakui berpuas hati dengan perkembangan pemain di bawah kendaliannya.

“Setakat ini saya gembira dengan perkembangan mereka. Di Singapura saya bukan jaga beregu lelaki sahaja, tetapi keseluruhan bahagian beregu. Dua tahun pertama saya banyak fokus kepada beregu campuran dan sejak tahun lalu selepas Kejohanan Dunia, saya mula beri tumpuan kepada beregu lelaki,” katanya.

Sepanjang bersama BAM, Paulus pernah mencipta kejayaan apabila membimbing Aaron Chia-Soh Wooi Yik sehingga muncul dalam kelompok 10 beregu terbaik dunia dan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau juga pernah menggandingkan Aaron bersama Teo Ee Yi secara sementara pada Piala Sudirman 2019 yang membantu Malaysia menewaskan India.

Selepas menyertai badan induk badminton Singapura pada 2022, beliau turut membantu pasangan beregu campuran Terry Hee-Jessica Tan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan kini menyasarkan lebih ramai pemain negara itu beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top