PBAHB catat keuntungan bersih tertinggi RM144.17 Juta

PBAHB catat keuntungan bersih tertinggi RM144.17 Juta

PBA Holdings Bhd (PBAHB) bersama anak syarikatnya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam tempoh 26 tahun iaitu sebanyak RM144.17 juta bagi tahun kewangan berakhir 2024.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 319.7 peratus berbanding RM34.35 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi PBAHB dan PBAPP, Chow Kon Yeow berkata, keuntungan tersebut banyak dipacu hasil pelaksanaan semakan tarif air baharu di negeri itu yang bermula pada 1 Februari 2024.

Beliau menyifatkan prestasi itu sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan.

Namun katanya, keuntungan berkenaan bukan untuk mengisi tabung kewangan PBAHB semata-mata atau mengkayakan syarikat.

“PBAPP perlu melabur kira-kira RM2.099 bilion bagi menyiapkan enam projek infrastruktur bekalan air baharu di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030), selain perbelanjaan modal berjumlah RM86.8 juta bagi menaik taraf infrastruktur sedia ada pada tahun 2025,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 PBAHB di sini, pada Khamis.

Kon Yeow berkata, walaupun Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bersetuju menyediakan kemudahan pajakan jangka panjang bagi dua projek di bawah WCP 2030, PBAHB dan PBAPP masih perlu mencari kaedah lain untuk menjana lebih RM1 bilion bagi menampung kos pelaksanaan projek dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau menjelaskan antara kaedah yang sedang dipertimbangkan termasuk menerbitkan sukuk, selain tidak menolak kemungkinan semakan tarif air akan dilakukan pada masa hadapan.

“Namun, perkara ini tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan memerlukan kelulusan Kabinet,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa PBAPP berjaya menghasilkan air terawat tertinggi sebanyak 1,208 juta liter sehari (JLH) sepanjang tahun lalu, dengan kadar air tidak berhasil (NRW) dicatatkan pada 28 peratus.

Beliau berkata, penggunaan air di Pulau Pinang pula direkodkan sebanyak 870 JLH.

“Sebagai perbandingan, purata kadar NRW kebangsaan pada 2023 adalah 34.6 peratus.

“Masih ada ruang untuk penambahbaikan dan saya telah mengarahkan PBAPP untuk terus menurunkan kadar NRW negeri ini,” katanya.

Scroll to Top