PBAKL 2025: Pupuk minat membaca anak bermula dari rumah, era digital bukan penghalang

PBAKL 2025: Pupuk minat membaca anak bermula dari rumah, era digital bukan penghalang

zhahirah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dalam era digital yang sarat dengan aplikasi, video pendek dan gajet di hujung jari, membentuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak bukan lagi tugas mudah.

Namun, bagi segelintir ibu bapa muda yang hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang kini berlangsung meriah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), keghairahan memilih buku untuk anak menjadi bukti bahawa minat membaca masih mampu dipupuk jika bermula dari rumah.

Masuk edisi ke-42 tahun ini, PBAKL bukan sekadar lokasi jual beli buku, tetapi kini berubah menjadi medan ibu bapa mencari bahan bacaan terbaik untuk anak kecil mereka, termasuk bayi bawah setahun.

Pasangan suami isteri, Nassyuha Assyillah, 31, dan Tengku Aizal Asyraf, 36, membawa anak mereka yang baru berusia sembilan bulan ke pesta buku itu kerana percaya pendedahan awal penting untuk membentuk minat terhadap ilmu.

“Dari dalam perut lagi kami dah bacakan buku. Kami tak paksa dia suka buku apa, tapi kami pastikan dia membesar dengan suasana penuh ilmu,” kata Nassyuha.

Suaminya pula menegaskan cabaran utama dalam membentuk budaya membaca bukan kekurangan bahan, sebaliknya sikap malas.

“Kalau malas, buku banyak pun tak guna. Sebab itu ibu bapa kena rajin cari ruang, macam datang ke PBAKL ini,”katanya.

Bagi Afiqah Ismail, 30, pula, PBAKL membuka ruang mengenali ramai penulis baharu dan buku-buku tempatan yang berkualiti tinggi, terutama untuk kanak-kanak.

“Anak saya minat buku pasal haiwan dan penjagaan diri macam gosok gigi. Kalau boleh, saya nak silibus sekolah masukkan buku yang ajar adab,” katanya yang menyarankan sesi bacaan bersama ibu bapa dan anak di sekolah diadakan secara berkala.

Seorang lagi pengunjung, Afiqah Mohammad, 36, mengakui sukar mendidik anak membaca dalam dunia yang dipenuhi skrin dan gajet.

“Kadang kita terpaksa juga beri ‘screen time’ sebab nak siapkan kerja. Tapi risikonya, kita tak dapat kawal semua yang mereka tengok. Buku lebih selamat kerana kita pilih sendiri,” katanya.

Afiqah yang juga ibu kepada anak ADHD berkata, bahan bacaan dengan elemen grafik sederhana dan warna yang tidak keterlaluan amat penting untuk menarik minat kanak-kanak berkeperluan khas.

“Kalau bawah enam tahun, buku perlu visual yang kuat tapi tak terlalu serabut. Itu penting untuk fokus anak saya,” katanya.

“Sekarang cikgu kejar habis silibus. Bukan salah guru, tapi sistem. Sepatutnya kita fokus pada asas kefahaman, bukan hafalan,” katanya.

Secara keseluruhan, ibu bapa ini bersetuju bahawa buku berunsur adab, nilai murni, sejarah Islam, dan grafik interaktif adalah paling sesuai untuk pelajar hari ini – tidak kira usia.

PBAKL 2025 membuktikan bahawa budaya membaca masih relevan, dan lebih bermakna apabila disokong kuat oleh ibu bapa yang mahu anak mereka membesar dengan ilmu dan akhlak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top