NEW YORK – Keadaan di Semenajung Gaza digambarkan sebagai amat kritikal dengan “runtuhnya talian hayat terakhir yang memastikan kelangsungan hidup penduduk,” menurut amaran agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Xinhua.
Di tengah-tengah konflik yang masih berterusan, depot bantuan PBB musnah, kediaman petugas bantuan dan penduduk yang kebuluran yang sedang mencari makanan turut diserang, malah ada yang rebah akibat kebuluran di jalanan, menurut laporan pasukan kemanusiaan.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan, dalam tempoh 24 jam lalu, belasan kanak-kanak dan orang dewasa meninggal dunia akibat kebuluran.
Hospital menerima pesakit yang mengalami keletihan melampau disebabkan kekurangan makanan, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
“Ini ditambah lagi dengan laporan berterusan tentang orang awam yang ditembak, terbunuh atau cedera hanya kerana cuba mendapatkan bantuan makanan, yang hanya dibenarkan masuk ke Gaza dalam jumlah yang sangat terhad,” kata OCHA.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan hospital kini terlalu sesak dan beberapa kemudahan mengalami kekurangan cecair intravena.
Akibat kekurangan bahan api, Kompleks Perubatan Nasser dan unit oksigen untuk kegunaan hospital di selatan Gaza kini berisiko ditutup.
Kemudahan PBB di Deir al-Balah turut diserang walaupun koordinat lokasinya dikongsi dengan pihak-pihak berkaitan dalam konflik itu, menurut petugas kemanusiaan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), operasi mereka terjejas akibat kemusnahan sebuah gudang, yang terletak dalam zon pemindahan, selain serangan ke atas fasiliti yang menempatkan kakitangan dan keluarga mereka.
Serangan itu sebahagian daripada corak kemusnahan sistematik terhadap kemudahan kesihatan, menurut WHO, dan dalam satu kenyataan, agensi itu mengecam serangan itu serta menuntut perlindungan berterusan untuk kakitangannya dan pembebasan segera mereka yang ditahan.
Jorge Moreira da Silva, pengarah eksekutif Pejabat Perkhidmatan Projek PBB (UNOPS), melaporkan yang premis mereka di Deir al-Balah turut terkena serangan, menyebabkan kerosakan struktur, menyebabkan bekalan kuasa dari penjana dan panel solar terputus selain menyebabkan tiada bekalan air di tapak itu.
Beliau berkata, lokasi itu juga pernah terkena tembakan teruk kereta kebal pada Mac lalu, yang mengorbankan seorang kakitangan UNOPS.
OCHA berkata, pasukan yang menjejaki pergerakan penduduk kini terhalang daripada melaksanakan tugas, menjadikan mereka tidak dapat melaporkan status keluarga yang dipindahkan dari Deir al-Balah.
Ada yang baru sahaja dipindahkan, manakala yang lain terdedah kepada pengeboman berat dan gangguan komunikasi akibat kerosakan kabel.
Menurutnya, 88 peratus kawasan Gaza kini tertakluk kepada arahan pemindahan atau berada dalam zon ketenteraan Israel. Baki 12 peratus pula berada dalam keadaan sesak dan kurang mendapat perkhidmatan.
Hab operasi kemanusiaan PBB kekal di Deir al-Balah, dengan kakitangan bertugas di puluhan premis, menurut OCHA. – Bernama-Xinhua