PBB lawat penempatan Rohingya di Bashan Char

PBB lawat penempatan Rohingya di Bashan Char

DHAKA: Delegasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memulakan lawatan tiga hari ke penempatan pelarian Rohingya, di Bashan Char.

Penempatan di pulau terpencil di Teluk Benggala yang dibina oleh Bangladesh itu mampu menempatkan sehingga 100,000 pelarian, sebahagian besarnya dari kem pelarian Cox’s Bazaar.

Setakat ini, lebih 13,000 pelarian Rohingya sudah dipindahkan ke sana secara berperingkat sejak Disember lalu, walaupun terdapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia.

Bangladesh mahu memindahkan 100,000 daripada lebih sejuta pelarian di kem sempadan yang sesak di Cox’s Bazaar ke Bashan Char, walaupun ada yang mendakwa ia terdedah kepada taufan dan ancaman banjirr.

Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR), dalam satu kenyataan, berkata kunjungan tiga hari itu turut membabitkan pakar agensi PBB yang terbabit dalam pengendalian pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Lawatan ini akan melihat keadaan dan kemudahan terkini di Bashan Char, sekali gus menilai keperluan pelarian Rohingya yang dipindahkan ke sana.

“Kita juga akan berbincang dengan pihak berkuasa dan pihak lain yang berada di Bashan Char,” katanya.

PBB sebelum mendakwa agensi itu tidak dibenarkan melakukan penilaian teknikal dan keselamatan di pulau itu, malah mengatakan tidak terbabit dalam pemindahan pelarian ke sana.

Bangladesh pula menafikan wujud isu keselamatan di pulau itu, sambil menegaskan pembangunan prasarana pertahanan banjir, pusat taufan dan perumahan bagi 100,000 orang selain hospital sudah dilengkapkan.

“Kami amat berharap lawatan ini dapat menghapuskan segala kebimbangan PBB mengenai Bashan Char dan memberi sokongan yang diperlukan masyarakat Rohingya,” kata seorang pegawai kanan di Kementerian Luar Bangladesh. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top