am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) menyambut baik jaminan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) pengangkutan anggota susulan nahas maut membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), baru-baru ini.
Setiausaha Agung PBPM, Mohamed Lokman Mahmud berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa menjadi keutamaan, terutama dalam tugasan berskala besar yang membabitkan konvoi.
Katanya, SOP sedia ada perlu diselaraskan semula mengikut keadaan semasa, mengambil kira kesesakan lalu-lintas, faktor cuaca serta beban kerja yang semakin kompleks.
“Trak berfungsi baik dalam era terdahulu, tetapi pada hari ini, faktor keletihan anggota dan pengangkutan jarak jauh menimbulkan keperluan kepada kenderaan yang lebih sesuai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas cadangan penggunaan bas bagi menggantikan trak, beliau menyifatkannya sebagai wajar dipertimbangkan kerana rekaan bas lebih stabil dan selesa untuk perjalanan jauh.
Namun katanya, aspek kawalan keluar masuk, keselamatan pergerakan dan kelajuan juga perlu diperhalusi agar sesuai dengan operasi polis.
“PBPM turut menyokong cadangan memperluaskan perlindungan insurans kepada semua kenderaan kerajaan yang membawa anggota, bukan terhad kepada pengangkutan anak-anak polis ke sekolah.
“Perlindungan ini penting bukan saja kepada anggota, tetapi juga waris mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Antara penambahbaikan yang dicadangkan termasuk pemilihan pemandu berpengalaman untuk konvoi, penilaian berkala ke atas kenderaan operasi dan penggunaan teknologi pemantauan seperti GPS.
“PBPM juga menekankan kepentingan latihan konvoi serta penyelenggaraan berkala untuk memastikan keselamatan dalam setiap pergerakan berkumpulan.
“Dalam aspek kebajikan, PBPM mencadangkan penubuhan dana khas bantuan segera kepada waris, serta bantuan psikososial, peluang pendidikan dan sokongan kewangan kepada anak anggota yang terkorban atau cedera parah,” katanya.
Mohamed Lokman berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi berkongsi pengalaman lapangan dalam membentuk dasar keselamatan yang lebih menyeluruh.
“PBPM menyokong sebarang usaha ke arah memperkukuh keselamatan dan kebajikan anggota kerana ia juga memberi impak kepada keluarga serta komuniti keselamatan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




