PBPs sokong pelan 'Tangkis 2030', hala tuju baharu badminton negara

PBPs sokong pelan 'Tangkis 2030', hala tuju baharu badminton negara

sukan@hmetro.com.my

Kangar: Pelan ‘Tangkis 2030’ perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan konkrit membabitkan peningkatan prestasi atlet, pembangunan akar umbi serta kerjasama menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

Presiden Persatuan Badminton Perlis (PBPs), Aamar Hashim berkata, pelan yang dibentangkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disifatkan sebagai satu langkah strategik berani yang wajar diberi sokongan penuh oleh semua pihak.

“Namun, kejayaan pelan ini bagaimanapun bergantung kepada sejauh mana ia dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan konkrit membabitkan peningkatan prestasi atlet, pembangunan akar umbi serta kerjasama menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

“Malah, pembangunan prestasi di pentas dunia tidak boleh hanya bergantung kepada program di pusat kebangsaan, sebaliknya perlu bermula daripada pengukuhan sistem di peringkat negeri.

“Persatuan negeri perlu diperkasakan sebagai rakan strategik BAM bagi memastikan laluan jelas daripada akar umbi hingga ke pelapis kebangsaan sekali gus melahirkan lebih ramai bakat berkualiti,” katanya ketika ditemui di Pejabat PBPs, di sini, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden BAM berkata, pembabitan aktif kerajaan negeri amat penting dalam membangunkan sukan badminton ini secara menyeluruh.

“Selain itu juga, peranan penaja korporat dan komuniti badminton turut menjadi faktor penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sukan secara bersepadu.

“Malah, kerjasama erat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah kunci utama dalam hal ini memandangkan sekolah, kolej dan universiti adalah platform terbaik untuk pengesanan bakat manakala KBS pula menyediakan dasar, fasiliti dan sokongan menyeluruh,” katanya.

Aamar berkata beliau berharap semua persatuan negeri berganding bahu bersama BAM, KPM, KBS dan pihak berkepentingan lain bagi merealisasikan visi Tangkis 2030.

Pada 16 Ogos lalu, dalam mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara yang dipengerusikan Tengku Zafrul, badan induk badminton negara itu membuat perubahan besar dalam menentukan hala tuju sukan itu di negara ini apabila memperkenalkan pelan strategik komprehensif ‘Tangkis 2030’.

Malah dalam mesyuarat itu juga BAM melantik legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai ahli majlis badan induk itu sebagai satu usaha dalam memperkasakan badminton di negara ini.

Tengku Zafrul dalam pada itu turut menggariskan tiga sasaran utama dalam jangka masa terdekat iaitu memenangi Piala Thomas pada 2026, meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan memastikan ada pemain negara menduduki ranking nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top