PDRM hulur bantuan, ringankan beban murid di SK Natai dan Poring-Poring

PDRM hulur bantuan, ringankan beban murid di SK Natai dan Poring-Poring

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kesibukan tugas menjaga ketenteraman awam tidak menghalang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

Atas keprihatinan itu, PDRM dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini melaksanakan misi bantuan bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk murid di dua sekolah di Inanam dan Telipok, dekat sini.

Di Telipok, seramai 60 murid Sekolah Kabangsaan (SK) Natai, manakala seramai 29 murid SK Poring-Poring di Inanam menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah dan makanan.

Kedua-dua sekolah berada dalam kawasan Kota Kinabalu, tetapi terletak di lokasi terpencil di kawasan tanah tinggi yang agak mencabar perjalanannya, sama seperti sekolah luar bandar lain di pedalaman Sabah.

Selain itu, 10 keluarga kurang berkemampuan turut menerima bantuan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan susu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, seramai 89 murid di dua sekolah ini menerima sumbangan kelengkapan bagi persediaan ke sekolah bagi sesi 2025/2026 melalui Program ‘Masih Ada Yang Sayang’.

Katanya, program ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan keluarga penerima disamping memberi semangat kepada murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Program ‘Masih Ada Yang Sayang’ jelas membuktikan keprihatinan PDRM terhadap kesejahteraan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan hubungan erat antara polis dan komuniti setempat.

“Ia sebagai platform untuk mendekati masyarakat, memahami isu dan cabaran yang dihadapi oleh komuniti, serta memberikan khidmat nasihat dan bantuan yang diperlukan.

“Ini membuktikan bahawa hubungan antara polis dan masyarakat bukan sekadar berasaskan penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga kepada nilai kemanusiaan dan kasih sayang,” katanya.

Hadir sama, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Natai, Telipok, Zulfiqkar Abd Mues.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top