am@hmetro.com.my
Cyberjaya: Sebanyak 50 peralatan SIM Box, 5,000 kad SIM dan kelengkapan berkaitan dirampas di sebuah premis di Kajang, baru-baru ini, kerana terbabit aktiviti penyalahgunaan peralatan telekomunikasi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, rampasan berkenaan dilakukan dalam satu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
Katanya, operasi dan siasatan diterajui sepenuhnya oleh PDRM dengan siasatan oleh MCMC dilakukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“MCMC memandang serius penyalahgunaan peralatan telekomunikasi termasuk peralatan SIM Box dan kad SIM, yang digunakan bagi tujuan jenayah dan aktiviti penipuan dalam talian.
“Peralatan SIM Box serta penggunaan kad SIM secara pukal termasuk kad SIM asing sering disalahgunakan bagi penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital, serta memudahkan kegiatan seperti penipuan dalam talian dan jenayah dalam talian yang lain,” katanya.
Kenyataan itu berkata, penyalahgunaan itu memberi ancaman kepada integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan pengguna.
“Kegiatan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, membolehkan penjenayah mencipta akaun palsu bagi menjalankan penipuan dan jenayah dalam talian, sekali gus membahayakan pengguna.
“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta 588, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
MCMC menegaskan, penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM, untuk mencipta akaun palsu dalam talian adalah ancaman serius kepada keselamatan negara.
“Penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memperketatkan kawalan pendaftaran kad SIM dalam menjamin keselamatan digital.
“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi menjamin keselamatan negara, mencegah penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi, serta memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan berkuat kuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




