rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan berhubung pendedahan dan penyebaran dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular di media, semalam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman serta di media sosial.
“PDRM akan memanggil semua saksi kompeten bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khalid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan sebarang dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati terbabit dalam mendedahkan dan menyebarkan maklumat berkenaan.
Terdahulu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan meminta pihak berkuasa menyiasat kesahihan dokumen minit mesyuarat JAC.
Beliau dilaporkan berkata, sekiranya dokumen itu disahkan sahih dan diklasifikasikan sebagai rahsia, penyiaran atau pengedarannya boleh membawa implikasi undang-undang, khususnya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial, dipercayai bermula dari laman Reddit, sebelum tular di Facebook dan aplikasi X.
© New Straits Times Press (M) Bhd