PDRM 'tahan' Selangor FC, ikat perlawanan 1-1

PDRM 'tahan' Selangor FC, ikat perlawanan 1-1

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: PDRM berjaya memastikan sekurang-kurangnya satu mata milik mereka selepas mengikat Selangor FC 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Jaringan minit akhir pemain gantian PDRM FC, Aremu Timothy Oluwaseun mengecewakan Selangor FC untuk membawa pulang tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

Keputusan ini menyaksikan masih banyak yang perlu diperbaiki Selangor FC menjelang aksi ketiga Liga Juara-Juara Asia (ACL2) menentang Jeonbuk Hyundai di laman sendiri, Rabu depan.

Meskipun satu mata diraih ‘The Cops’ di laman sendiri namun setidak-tidaknya mereka boleh berbangga apabila berjaya mengikat dua pasukan teratas Liga Super musim ini selepas seri menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.

Selangor FC tampak lebih mendominasi permainan dan mereka hanya memerlukan 15 minit untuk membuka jaringan yang bermula menerusi gerakan daripada sebelah sayap kanan mereka.

Hantaran lintang Quentin Cheng berjaya ditanduk Alvin Fortes dan bola terlebih dahulu menggegar palang sebelum melintasi garisan gol untuk gol pembukaan perlawanan.

Beberapa percubaan dihasilkan Selangor FC menerusi Quentin dengan rembatan dari luar kotak penalti yang melambung tinggi pada minit ke-33 disusuli percubaan Fortes sedikit tersasar ke bahagian kanan pintu gol PDRM FC tiga minit berselang.

Bersambung babak kedua, PDRM FC hampir dihukum menerusi kesilapan sendiri pada minit ke-47 selepas tampanan Mohd Safiee Ahmad menuju ke arah pintu gol sendiri namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Bryan See.

Peluang terbaik PDRM FC hadir menerusi sepakan percuma pada kedudukan yang baik di minit ke-52, sayangnya percubaan Chidi Emma Osuchukwu tepat ke dakapan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Selangor FC terus menggandakan asakan dan memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan namun gagal disudahkan sebelum jaringan penyamaan Oluwaseun pada minit kedua masa tambahan memastikan satu mata dikutip tuan rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top