PDRM tak pilih ‘bulu’, tidak menyebelahi parti politik

PDRM tak pilih ‘bulu’, tidak menyebelahi parti politik

Johor Bahru: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berpesan supaya polis tidak masuk campur dan mengambil tindakan menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik.

Beliau menerima pesanan Perdana Menteri itu dalam pertemuan selama satu jam lima minit pagi tadi sebelum bergerak ke Johor untuk lawatan rasmi kali pertama, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, Muhyiddin juga mahu proses undang-undang terus berjalan dengan telus tanpa gangguan.

“Itu pesanan Perdana Menteri kepada saya dalam pertemuan dari hati ke hati iaitu saya sebagai Ketua Polis Negara dan beliau sebagai Perdana Menteri pada pagi tadi.

“Perbualan cukup ikhlas, beliau (Muhyiddin) memberi pandangan dan penjelasan beberapa perkara, salah satunya meminta supaya polis jangan masuk campur untuk hendak ambil tindakan yang dilihat menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik.

“Proses Undang-undang mesti berjalan telus tanpa gangguan dan halangan, itu pesanan beliau (Muhyiddin),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ada Ahli Parlimen yang mendakwa didesak dalam kempen agresif dilakukan pihak tertentu untuk menyokong kerajaan sedia ada dan jika tidak akan terdedah dengan penganiayaan.

Justeru, Abdul Hamid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berada pada landasan yang betul dan setiap perkara mesti dilakukan tanpa memilih ‘bulu’.

“Sekiranya PDRM menyebelahi mana-mana pihak, negara akan menjadi tidak aman dan polis mesti dilihat berada di tengah-tengah.

“Jadi memang ada cubaan daripada pihak (mempengaruhi polis) mentaliti lama daripada dulu lagi, mesti nak berbaik-baik dengan polis, kalau tak baik nanti semua benda tak boleh jalan, ini adalah idea lapuk,” katanya.

Scroll to Top