PDRM terima 2 kenderaan pacuan empat roda daripada Kerajaan Negeri Sabah

PDRM terima 2 kenderaan pacuan empat roda daripada Kerajaan Negeri Sabah

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerima dua kenderaan pacuan empat roda sumbangan daripada Kerajaan Negeri Sabah.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penyerahan kenderaan pacuan empat roda itu akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kecekapan operasi PDRM.

“Ia amat signifikan terutamanya di kawasan yang sukar diakses serta memperkukuh keupayaan risikan dan penguatkuasaan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dadah di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kenderaan Pacuan Empat Roda di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Penyerahan kenderaan berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk James Ratib, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Mohd Khalid berkata sumbangan dua unit kenderaan itu bukan sekadar sebuah pemberian tetapi mencerminkan komitmen teguh kerajaan negeri terhadap keselamatan Sabah selain kepercayaan yang tinggi kepada keupayaan PDRM.

Beliau berkata kedudukan geografi Sabah yang strategik dan unik, bersempadan dengan Indonesia dan Filipina menjadikan negeri itu terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk penyeludupan dadah secara besar-besaran, pergerakan sindiket rentas negara yang licik serta kebanjiran pendatang asing yang tidak terkawal.

Justeru, beliau berkata sumbangan itu juga selari dengan penubuhan Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) Sabah di Sandakan pada 2019 melalui enam kerjasama strategik erat antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat.

Mohd Khalid berkata ia termasuk sumbangan bangunan oleh DEA bernilai anggaran AS$750,000 (kira-kira RM3 juta), mencerminkan pengiktirafan dan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap profesionalisme serta keupayaan PDRM dalam membanteras jenayah narkotik.

“SNN Sabah memainkan peranan kritikal dalam menyelaras risikan dan operasi bersama rakan penguatkuasaan antarabangsa seperti Polis Republik Indonesia (POLRI), Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia, Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) serta agensi berkaitan dari Brunei.

“Melalui kerjasama erat ini, PDRM menunjukkan komitmen padu memastikan keselamatan dan kesejahteraan Sabah terus terpelihara daripada ancaman dadah yang berpotensi menghancurkan generasi akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top