harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan lapan pertukaran jawatan membabitkan beberapa pegawai kanan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Julina Salehuddin berkata kesemua pertukaran akan berkuat kuasa bermula 25 Ogos.
“Mendahului senarai adalah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff yang ditukar kepada Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran).
“Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Deputi Komisioner Alzafny Ahmad akan menggantikan Ahmad Dzaffir sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Setiausaha PDRM Urusetia Pejabat KPN, Datuk Kamaruzaman dinaikkan daripada Senior Asisten Komisioner kepada memangku pangkat Deputi Komisioner namun memegang jawatan sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris dipindahkan ke Lembah Klang sebagai Komandan Pulapol Kuala Lumpur menggantikan Alzafny Ahmad.
Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Khairiel Mohd Arif akan menggalas jawatan sebagai Ketua JSJ Kelantan dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohammad Rusli Mat akan menggantikan Mohd Khairiel di Pulau Pinang dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Ketua Polis Alor Gajah, Superintendan Ashari Samah pula bakal memangku pangkat Asisten Komisioner dan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuantan yang baharu.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Julina Salehuddin berkata kesemua pertukaran akan berkuat kuasa bermula 25 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd