rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat mengumumkan pertukaran empat pegawai kanannya.
Mendahului senarai adalah Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat yang akan bertugas sebagai Ketua Polis Kelantan.
Beliau yang akan memangku pangkat Komisioner Polis menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara pada Ogos lalu dengan jawatan ketika ini dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby.
Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah, tempat Mohd Yusoff akan digantikan oleh Senior Asisten Komisioner M V Sri Kumar.
“Selain itu, Pegawai Turus Pendataan/Analisa, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, Superintendan Norhizam Bahaman akan bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Sepang dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
“Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad pula akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pertukaran kesemua pegawai terbabit akan berkuat kuasa pada 18 November depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd