PETALING JAYA: Beregu No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah akhirnya menamatkan badi selepas berjaya melepasi halangan peringkat lapan terbaik dan mara buat kali pertama pada separuh akhir Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, hari ini.
Gandingan No. 1 Malaysia itu membenam Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dari Indonesia 21-9, 21-18 dalam masa 43 minit.
Dalam lima penyertaan lalu, Pearly-Thinaah di All England, sebanyak empat edisi iaitu pada 2021, 2022, 2024 dan 2025 berkesudahan mereka terkandas di suku akhir.
Akhirnya pada tahun keenam, Pearly-Thinaah berjaya menamatkan badi tersebut dan menjejakkan kaki ke separuh akhir untuk menghitung pertembungan dengan pasangan No. 4 dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee.
Berdepan Ha Na-So Hee, kedua-dua beregu terikat dengan rekod pertemuan 3-3, bagaimanapun, pada pertemuan terakhir, Pearly-Thinaah kalah kepada wakil Korea Selatan itu di China Masters, tahun lepas.
Pearly-Thinaah juga menamatkan kemarau selama 19 tahun untuk menyaksikan sekali lagi beregu wanita Malaysia mara ke separuh akhir selepas Chin Ee Hui-Wong Pei Tty berbuat demikian pada 2007.
Thinaah ketika ditanya mengenai penantian yang cukup panjang itu berkata, ia merupakan satu kelegaan yang besar akhirnya berjaya memecah kebuntuan tersebut.
“Seperti yang saya katakan, dalam kejohanan All England sebelum ini, kami hanya sampai ke suku akhir. Kami banyak kali berada di tahap itu, tetapi ia seperti ‘sangat dekat namun sangat jauh’ bagi kami.
“Tetapi untuk mendapat kejayaan besar di sini, hari ini, ia adalah perasaan yang sangat gembira. Namun, saya tahu ia tidak terhenti di sini kerana masih ada perkara yang perlu kami usahakan dan perbaiki,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas permainan tamat.
Menurut Thinaah, penting untuk kekalkan fokus mereka ketika ini kerana masih ada perlawanan yang perlu diharungi dan mendapatkan pemulihan secukupnya sebelum kembali ke gelanggang, esok.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Ha Na-So Hee, anak jati Klang, Selangor itu berkata, seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini, mereka hanya mahu fokus kepada permainan dan strategi, sebelum bersedia untuk berdepan pencabar dari Korea Selatan tersebut.
Sementara itu, Pearly pula ketika ditanya mengenai sokongan yang diberi penonton berkata, dia berasakan seperti beraksi di laman sendiri dengan sorakan padu yang diberikan penyokong.
“Kami sangat menikmati permainan kami, menikmati setiap perlawanan dan menikmati sorakan mereka selepas setiap mata yang kami dapat.
“Jadi, kami sangat berterima kasih kepada mereka kerana meluangkan masa untuk menonton kami bermain dan menyokong semua pemain Malaysia. Terima kasih banyak-banyak,” katanya. – UTUSAN




