
Pearly (kanan) dan Thinaah akan berdepan pasangan Indonesia dalam aksi pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Paris malam ini. Foto AFP.
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah belum mahu berasa selesa di atas kemenangan mudah dalam saingan pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Perancis pada malam Rabu.
Pasangan nombor dua dunia itu mara ke pusingan ketiga setelah menumpaskan Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan secara straight set.
Dalam aksi di Adidas Arena, Paris itu, gandingan negara hanya memerlukan 37 minit untuk mengalahkan pasangan Hong Kong 21-17, 21-14.
“Dalam kejohanan kali ini, prestasi agak baik, namun kami juga mengalami pasang surut semasa latihan sebelum datang ke sini (Paris).
“Kejohanan sudah bermula, kami sangat teruja dan gembira dengan kemenangan ini. Namun kami perlu kekal konsisten, fokus dan saling mempercayai,” ujar Thinaah.
Menanti mereka dalam saingan pusingan ketiga pada malam ini ialah pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramandhanti yang menewaskan Tea Margueritte-Flavia Vallet dari Perancis 21-13, 21-12.
Pearly bagaimanapun mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki walaupun berpuas hati dengan kemenangan itu.
“Ini adalah perlawanan pertama, jadi kami perlu belajar daripadanya dan kemudian berbincang sedikit lagi sebelum meneruskan perlawanan esok (malam ini),” katanya.
Menyentuh mengenai keadaan gelanggang, Pearly berkata, keadaan bulu tangkis agak perlahan tetapi berjaya diatasi dengan strategi berkesan.
“Saya rasa bulu tangkis agak perlahan di sini, tetapi bukan sahaja kami, pihak lawan juga begitu.
“Jadi saya rasa strategi kami berjaya dengan baik dan kami berharap dapat mengekalkan momentum ini untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya.