TIADA istilah putus asa buat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk menundukkan Liu Sheng Shu-Tan Ning selepas sekali lagi tewas di tangan pasangan nombor satu dunia dari China itu di pentas akhir Terbuka Jepun pada Ahad.
Dalam aksi di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, mereka yang berstatus ketiga dunia terpaksa akur dengan kekalahan straight set 15-21, 14-21 kepada naib juara Olimpik Paris 2024 itu.
Pearly bagaimanapun optimis akan menemui jalan untuk menamatkan badi berkenaan.
“Bagi perlawanan hari ini (Ahad), strategi permainan tidak menjadi dan mereka dapat membaca permainan kami dengan baik.
“Kami gagal mengatasinya, jadi kami perlu belajar daripada kekalahan ini,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Ia adalah kekalahan kelima berturut-turut Pearly-Thinaah kepada Sheng Shu-Tan Ning, termasuk di final Terbuka Indonesia bulan lalu, menjadikan rekod keseluruhan pertemuan memihak kepada beregu China itu dengan sembilan kemenangan daripada 12 pertemuan.
Nada sama turut diluahkan Thinaah yang menanam tekad untuk menewaskan pasangan China itu pada masa akan datang.
“Paling penting kami perlu yakin dengan diri sendiri, tidak kira berapa kedudukan mata ketika itu. Keyakinan dalam pukulan yang mahu dibuat juga penting, dan saya rasa hari ini keyakinan kami agak terjejas,” katanya.
Di sebalik keputusan tersebut, Pearly-Thinaah ingin melihat daripada sudut positif terutama selepas berjaya menamatkan badi kekalahan kepada pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam aksi separuh akhir.
Kemenangan berkenaan mengakhiri rekod buruk mereka yang tewas dalam 13 daripada 14 pertemuan menentang Matsuyama-Shida sebelum ini, termasuk tujuh kekalahan berturut-turut.
“Kami bermain dengan baik minggu ini. Sentiasa berkomunikasi dan menyokong satu sama lain, tak kira menang atau kalah. Kami mahu mengekalkan momentum ini untuk kejohanan seterusnya,” ujar Pearly.
Dalam pada itu, ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengakui Sheng Shu-Tan Ning berada di kelas tersendiri dalam saingan kali ini.
“Kami kalah kepada pasangan yang lebih bagus. Pearly-Thinaah sudah cuba variasikan pukulan mereka, tetapi banyak melakukan kesilapan mudah. Pertahanan dan serangan lawan juga sangat konsisten.
“Namun, mereka juga bermain sangat baik minggu ini. Kemajuan masih berjalan dan mereka kekal positif untuk Terbuka China minggu depan. Apa yang paling penting adalah proses pemulihan untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Biarpun terlepas gelaran kedua pada musim ini selepas mengungguli Terbuka Thailand pada Mei lalu hadiah wang tunai sebanyak AS$33,250 (RM141,182) sudah cukup buat Pearly-Thinaah untuk berasa puas dan gembira.
Sheng Shu-Tan Ning yang muncul sebagai juara membawa pulang durian runtuh sebanyak AS$70,300 (RM298,500).
Pencapaian tersebut turut menyaksikan Pearly-Thinaah menyamai rekod Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang muncul naib juara pada edisi 2008.