Pearly-Thinaah belum mampu akhiri penantian 127 tahun

Pearly-Thinaah belum mampu akhiri penantian 127 tahun

PETALING JAYA: Untuk mengejar impian menamatkan penantian selama 127 tahun, gagal direalisasikan oleh beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang terkandas di separuh akhir pada Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, awal pagi ini.

Pearly-Thinaah terpaksa akur kepada pasangan No. 4 dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan menerusi kekalahan straight set 17-21, 18-21 dalam masa 1 jam 9 minit.

Kekalahan tersebut menyaksikan, gandingan No. 1 Malaysia itu kini dipintas Ha Na-So Hee dengan catatan rekod pertemuan 3-4.

Walaupun gagal menamatkan 127 tahun penantian buat beregu wanita negara menjejakkan kaki ke perlawanan akhir, namun, Pearly-Thinaah masih mampu berbangga apabila menyamai rekod Chin Ee Hui-Wong Pei Tty mara ke separuh akhir 19 tahun lalu.

Sekalipun perjuangan mereka telah menemui noktah pada kejohanan tertua di dunia itu, tetapi, Pearly-Thinaah harus berbangga dengan prestasi konsisten yang dipamerkan, musim ini.

Kejayaan sekurang-kurangnya mara sehingga ke separuh akhir pada Terbuka India dan kemudiannya menjuarai Indonesia Masters, Pearly-Thinaah berjaya mengekalkan status mereka selaku beregu pilihan.

Apa yang pasti, mereka bakal kembali ke All England, tahun depan, untuk sekali lagi mencuba melakar sejarah buat Malaysia memburu gelaran pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu.

Cuma yang menjadi persoalan kini adalah jurang kualiti yang dimiliki Pearly-Thinaah masih belum mampu diekori rapat beregu junior seperti Ong Xin Yi-Carmen Ting yang terkandas di pusingan awal.

Sebelum gandingan Pearly-Thinaah dibentuk, Malaysia juga terpaksa menanti selama 19 tahun untuk sekali lagi menyaksikan beregu wanita negara beraksi di separuh akhir.

Diharapkan selepas ini, peminat tidak perlu menunggu lama lagi untuk melihat pemain wanita Malaysia menghadirkan tentangan sengit di All England selepas era Pearly-Thinaah kelak. – UTUSAN

Scroll to Top