Pearly-Thinaah berpeluang cipta sejarah di Jepun

Pearly-Thinaah berpeluang cipta sejarah di Jepun
Pearly-Thinaah menamatkan badi kekalahan kepada pasangan handalan Jepun berkenaan yang sebelum ini mencatatkan 13 kemenangan daripada 15 pertemuan. - Foto: Agensi

Pearly-Thinaah menamatkan badi kekalahan kepada pasangan handalan Jepun berkenaan yang sebelum ini mencatatkan 13 kemenangan daripada 15 pertemuan. – Foto: Agensi

BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kini tinggal selangkah sahaja lagi untuk mencipta sejarah sebagai pasangan wanita pertama negara memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun.

Pasangan pilihan negara itu mara ke pentas final kejohanan bertaraf Super 750 selepas mengejutkan gandingan pilihan kedua dunia dari Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Lebih manis, kejayaan itu turut menamatkan badi kekalahan kepada pasangan handalan Jepun berkenaan yang sebelum ini mencatatkan 13 kemenangan daripada 15 pertemuan.

Pearly-Thinaah kini bakal berdepan ujian getir di pentas final apabila dijadualkan menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang pernah menewaskan mereka pada saingan Terbuka Indonesia bulan lalu.

Menurut Thinaah, kemenangan ke atas Shida-Matsuyama menyuntik semangat baharu buat mereka menjelang aksi penentuan kejuaraan.

“Kami tidak terlalu fokus kepada mata, sebaliknya hanya berusaha mendapatkan setiap mata yang ada.

“Sokongan dan semangat antara satu sama lain banyak membantu. Sekarang, kami akan berehat, membuat persiapan dan berbincang dengan jurulatih. Kami mahu berikan yang terbaik pada final nanti,” katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara beregu wanita di kejohanan ini sebelum ini adalah menerusi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul naib juara pada edisi 2008.

Sementara itu, impian untuk melihat satu lagi wakil negara mara ke pentas final tidak kesampaian apabila beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di peringkat separuh akhir.

Gandingan negara itu terpaksa akur apabila tewas straight set 12-21, 16-21 kepada pasangan China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin.

Turut menerima nasib sama ialah beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang ditundukkan pasangan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 14-21, 15-21.

 

Scroll to Top