Pearly-Thinaah hampiri kejuaraan sulung 2024

Pearly-Thinaah hampiri kejuaraan sulung 2024

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta kejutan apabila layak ke final selepas menewaskan pilihan utama tuan rumah, Baek Ha Na-Lee So Hee di Terbuka Korea, sebentar tadi.

Kemenangan mereka itu adalah hadiah istimewa buat peminat badminton negara pada sambutan Hari Kebangsaan 2024, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir itu, Pearly-Thinaah tidak berdepan masalah besar untuk menang straight set 21-18, 21-13 dalam masa 42 minit sahaja.

Meskipun berdepan sorakan padu penyokong lawan, Pearly-Thinaah tetap berada di kelas tersendiri apabila kekal tenang dan tidak banyak melakukan kesilapan, sebaliknya lebih menyerlah untuk mengutip mata demi mata sehingga menang set pertama untuk membawa kelebihan di set seterusnya.

Wakil tuan rumah yang kini berada di ranking kedua dunia, cuba bangkit di set kedua tetapi pasangan negara segera memperkemaskan rentak permainan untuk menafikan kebangkitan lawan.

Kemenangan ini juga menyaksikan Pearly-Thinaah menang dua kali daripada tiga pertemuan dengan gandingan Korea itu.

Untuk aksi final esok, Pearly-Thinaah akan bertemu satu lagi wakil tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang terlebih dahulu layak selepas menewaskan rakan senegara, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan, 21-14-21-11.

Untuk rekod, ini adalah final pertama buat Pearly-Thinaah untuk tahun ini selepas kali terakhir layak ke pusingan akhir di Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top