
Pearly-Thinaah cemerlang ke final Terbuka Jepun. Foto EPA
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 selepas menyingkirkan pasangan pilihan kedua dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida pada aksi separuh akhir, Sabtu.
Dalam aksi yang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu, Pearly-Thinaah tampil bertenaga sejak awal permainan dengan meraih kemenangan 21-13 pada set pertama.
Momentum cemerlang itu diteruskan dalam set kedua apabila mereka menampilkan permainan lebih kemas dan konsisten sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-11 bagi mengesahkan tempat ke final kategori beregu wanita kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Kejayaan tersebut turut menamatkan badi kekalahan ke atas gandingan handalan Jepun itu yang sebelum ini menang 13 daripada 14 pertemuan terdahulu.
Untuk rekod, kali terakhir Pearly-Thinaah berjaya menewaskan Matsuyama-Shida adalah di Terbuka Perancis 2022, sebelum kembali dikuasai pasangan Jepun itu termasuk dalam aksi Piala Sudirman tahun ini.
Sementara itu, impian untuk melihat satu lagi wakil negara mara ke pentas final tidak kesampaian selepas beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di separuh akhir.
Gandingan negara itu tewas straight set 12-21, 16-21 kepada pasangan China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin.