saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mempamer aksi bertenaga untuk menewaskan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva 21-18, 21-9, sekali gus mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan A di Sukan Olimpik Paris 2024.
Tampil kali pertama di pentas Olimpik, Pearly-Thinaah yang juga pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, menggalas misi wajib menang sebelum turun beraksi di Porte de La Chapelle Arena, hari ini.
Set pertama berlangsung sengit dengan kedudukan mata yang rapat, namun Pearly-Thinaah lebih tenang di hujung permainan untuk melakar kemenangan 21-18 dalam tempoh 26 minit.
Pearly-Thinaah kemudian mempamer aksi cukup meyakinkan pada set kedua apabila jauh meninggalkan lawan mereka yang menduduki ranking kelapan dunia itu sebelum melakar kemenangan mutlak 21-9.
Kemenangan itu menyaksikan rekod pertemuan kini memihak kepada Pearly-Thinaah apabila memenangi empat daripada tujuh pertemuan antara mereka.
Terdahulu, beregu negara yang menduduki ranking ke-12 dunia itu menghidupkan semula peluang mereka untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 18-21, 21-15, 21-16 pada aksi kedua peringkat Kumpulan A kelmarin.
Pada aksi pertama, Pearly-Thinaah tewas di tangan gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 17-21, 20-22 yang muncul juara Kumpulan A selepas memenangi ketiga-tiga perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




