
Thinaah (kiri) dan Pearly tewas di tangan pasangan China dalam aksi final Terbuka Jepun di Tokyo pada Ahad. Foto Agensi.
BANYAK kerja rumah menanti beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk mencari jalan bagi mengatasi Liu Sheng Shu-Tan Ning apabila terpaksa berpuas hati sekadar bergelar naib juara Terbuka Jepun di Tokyo sebentar tadi.
Persembahan pasangan nombor tiga dunia itu seakan tidak menjadi apabila tewas dalam saingan straight set pada aksi final kejohanan berstatus Super 750 tersebut.
Dalam aksi di Gimnasium Metropolitan itu, Pearly-Thinaah bermula hambar apabila tewas set pertama 15-21 di tangan pasangan nombor satu dunia berkenaan.
Mereka cuba bangkit memperkemaskan corak permainan, namun pengalaman menjadi pemisah apabila Sheng Shu-Tan Ning mengesahkan kemenangan 21-14 dalam masa 45 minit permainan.
Biarpun terlepas gelaran kedua pada musim ini selepas mengungguli Terbuka Thailand pada Mei lalu, hadiah wang tunai sebanyak AS$33,250 (RM141,182) sudah cukup untuk membuatkan Pearly-Thinaah berasa puas dan gembira.
Sheng Shu-Tan Ning yang muncul sebagai juara membawa pulang ganjaran sebanyak AS$70,300 (RM298,500).
Keputusan itu menyaksikan jurang kemenangan Sheng Shu-Tan Ning ke atas Pearly-Thinaah meningkat kepada sembilan daripada 12 pertemuan.
Pencapaian tersebut turut menyaksikan Pearly-Thinaah menyamai rekod Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang muncul naib juara pada edisi 2008.