ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur:Gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, berazam untuk menamatkan penantian 18 tahun apabila turun beraksi di kejohanan badminton berprestij, Seluruh England, yang berlangsung di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.
Kali terakhir Malaysia memiliki wakil dalam separuh akhir kejohanan itu adalah menerusi pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty pada 2007.
Kini, Pearly-Thinaah yang berada di ranking keenam dunia mahu mengubah sejarah selepas tiga kali terkandas di peringkat suku akhir pada 2021, 2022 dan 2024.
Bagaimanapun, pada edisi 2023, mereka mengalami kekecewaan awal apabila tersingkir seawal pusingan pertama.
Namun, kali ini pasangan yang beraksi di Sukan Olimpik Paris itu bertekad untuk menebus kekecewaan dengan aksi lebih mantap.
Thinaah berkata, mereka menjadikan pencapaian lalu sebagai motivasi, namun enggan membebankan diri dengan tekanan.
“Kami tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini sebagai beban, sebaliknya lebih kepada pembakar semangat. Kami mahu menikmati permainan dan memberikan yang terbaik di gelanggang,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Menurutnya, mereka kini memberi tumpuan kepada memperbaiki kelemahan, khususnya di saat-saat genting perlawanan.
“Dalam beberapa perlawanan lalu, kami sering mendahului tetapi akhirnya tewas kerana terlalu tergesa-gesa menamatkan perlawanan. Kami mahu lebih tenang dan sabar, serta tidak melakukan kesilapan mudah,” katanya.
Thinaah menjangkakan cabaran lebih sengit di Seluruh England kali ini dengan kehadiran beberapa pasangan beregu baru dari Jepun, Korea Selatan dan China.
“Kebanyakan mereka bukanlah pemain yang tidak dikenali. Mereka pernah berada dalam kelompok lima terbaik dunia. Jadi, kami perlu fokus kepada strategi sendiri dan terus memperbaiki permainan kami,” katanya.
Sebelum beraksi di Seluruh England, Pearly-Thinaah terlebih dahulu akan turun dalam saingan Masters Orleans di Perancis dari 4 hingga 9 Mac ini sebagai persiapan terakhir mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd