am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Polis menahan tiga lelaki termasuk pengawal keselamatan untuk membantu siasatan berhubung kes pecah masuk sebuah kedai telefon bimbit di Kawasan Perindustrian Taman Cendana, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Menurutnya, melalui kamera rakaman litar tertutup CCTV di premis terbabit, terdapat tiga suspek menutup muka dengan topeng.
“Kita berjaya menahan suspek berusia antara 17 hingga 40 tahun termasuk pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu untuk bantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 pagi semalam dan suspek dipercayai memecahkan cermin menggunakan objek untuk masuk ke dalam premis.
“Kita masih menyiasat lebih lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, ” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.
Beliau berkata, daripada tiga suspek yang ditahan itu, hanya seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Media semalam melaporkan, sebuah kedai menjual telefon bimbit di daerah ini dipecah masuk menyebabkan pelbagai jenis telefon bimbit berjenama berjaya dilarikan pencuri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




