Pecat Azmin & Radzi Jidin dari PN: “Kasar permainan politik PAS” -Tun Faisal

Pecat Azmin & Radzi Jidin dari PN: “Kasar permainan politik PAS” -Tun Faisal

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa tindakan menggugurkan Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan penting dalam Perikatan Nasional (PN) menunjukkan usaha PAS untuk mengukuhkan pengaruhnya dalam gabungan tersebut.

PAs sedang kukuhkan pengaruh

Menurut hantaran yang dimuat naik Tun Faisal di Facebook, perubahan yang diumumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam telah mengubah komposisi Majlis Tertinggi (MT) PN apabila jumlah wakil PAS meningkat kepada lapan orang manakala wakil BERSATU berkurangan kepada empat orang.

Persoal tindakan tersebut

Tun Faisal turut mempersoalkan tindakan mengadakan mesyuarat tergempar MT PN dalam masa terdekat sedangkan, menurutnya, beberapa isu dalaman sebelum ini tidak ditangani secara serius oleh kepimpinan gabungan itu.

“Pada masa sama, diumumkan bahawa mesyuarat tergempar MT PN akan diadakan dalam masa terdekat kononnya untuk memperkukuh organisasi PN.
“Persoalannya, mengapa tiba-tiba perlu mesyuarat tergempar sedangkan sebelum ini Pengerusi PN tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengurus konflik dalaman PN, tidak memanggil mesyuarat MT PN, dan tidak mengadakan rundingan kerusi, mesyuarat persiapan pilihan raya mahupun mesyuarat jawatankuasa electoral pact (pakatan pilihan raya)?
“Malah beberapa minggu sebelum itu, Pengerusi PN seolah-olah ‘ghaib’ tanpa sebarang kenyataan mengenai isu semasa negara dan konflik dalaman PN,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Satu bentuk permainan politik

Semalam, Ahmad Samsuri mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran PN yang menyaksikan Radzi diberhentikan sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan digantikan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor. Pada masa sama, Mohamed Azmin Ali turut diberhentikan sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN.

Mengulas lanjut, Tun Faisal menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk permainan politik yang memberi kelebihan kepada PAS dalam membuat keputusan di peringkat tertinggi gabungan.

“Hasrat ini sudah beberapa kali dibayangkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu, malah kenyataan beberapa anggota Lajnah Undang-Undang PAS serta jentera parti juga memberikan gambaran ke arah itu.
“Ini termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam Majlis Tertinggi untuk menekan BERSATU, serta mengetepikan peranan Majlis Presiden dalam proses membuat keputusan,” dakwanya lagi.

Beliau bagaimanapun menegaskan BERSATU kekal komited untuk mempertahankan PN walaupun berdepan pelbagai cabaran dalaman ketika ini.

Sumber: Facebook Tun Faisal Ismail Aziz 

Scroll to Top