Pecut kereta kerana takut polis

Pecut kereta kerana takut polis

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Gara-gara takut ditangkap polis kerana berada di bawah pengaruh dadah ketika memandu, dua lelaki nekad memecut kenderaan ketika diarahkan berhenti oleh anggota bertugas di Jalan Datin Halimah, di sini, semalam

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, insiden pada 6 petang itu menyebabkan anggota polis terpaksa mengejar kereta Volkswagen Jetta yang dipandu suspek.

Katanya, kejadian berlaku ketika anggota terbabit bersama rakan setugas sedang melakukan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di Jalan Datin Halimah menghala ke Kempas.

“Ketika itu anggota terbabit melihat sebuah kereta Vokswagen Jetta dalam keadaan mencurigakan, ketika diarahkan pemandu kereta berhenti untuk diperiksa suspek terus bertindak memecut laju dan melarikan diri.

“Anggota terbabit meminta bantuan bilik gerakan IPD JBS dan tiga kereta peronda MPV yang sedang bertugas untuk membantu menahan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raub berkata, insiden antara suspek dan tiga MPV itu berlaku sehingga ke tempat letak kereta sebuah Apartment di Taman Damansara Alif, di sini, sebelum seorang suspek lelaki tempatan berusia 28 tahun berjaya ditangkap.

“Rakannya, lelaki tempatan berusia 20 tahun masih gagal dikesan dan masih bebas.

“Polis merampas sebilah parang, tukul, batang besi, batang kayu, topi keledar dan kereta Volkswagen Jetta dan alat kawalan jauh kereta itu.

“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek melarikan diri kerana berada di bawah pengaruh dadah dan takut ditangkap polis,” katanya.

Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek terbabit dalam masing-masing satu kes jenayah dan dadah.

Menurutnya, ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah methamphetamine.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga Isnin depan.

“Polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 kanun keseksaan, seksyen 6 (1) Akta Bahan Hakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955; Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam video berdurasi 23 saat yang tular di media sosial TikTok memaparkan kejadian tiga kereta peronda polis MPV mengejar sebuah kereta awam di kawasan Taman Damansara Alif.

© New Straits Times Press (M) Bhd