Pedri mahu bawa semangat Euro 2020 ke final Olimpik

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PEMAIN muda Sepanyol, Pedri mahu menjadikan pengalaman beraksi di pentas Euro 2020 sebagai bekal semangat untuknya beraksi lebih baik ketika berdepan juara bertahan, Brazil pada final acara bola sepak Sukan Olimpik Tokyo 2020, di Stadium Yokohama, Sabtu ini.

Pemain berusia 18 tahun itu juga mahu memastikan skuad La Roja itu mampu merampas ibu segala pingat itu bagi mengubat kekecewaan gagal mara ke final Euro 2020.

“Saya mahu memastikan Sepanyol tidak kecewa lagi setelah laluan kami ke final Euro 2020 tidak kesampaian; dan kini hanya tinggal ‘selangkah’ untuk pasukan ini ‘merampas’ pingat emas daripada juara bertahan.

“Sememangnya sejak peringkat awal, saya sememangnya sudah menjangkakan perlawanan ini akan berlaku dan ternyata ia menjadi kenyataan,” katanya.

Sepanyol mara ke final bagi acara bola sepak Sukan Olimpik Tokyo setelah mengecewakan Jepun 1-0 pada peringkat separuh akhir, di Stadium Saitama, 4 Ogos lalu.

Jaringan tunggal pemain gantian, Marco Asensio pada minit ke-115 masa tambahan sudah cukup untuk membawa skuad La Roja itu ke pentas final buat kali ketiga sejak memenangi emas pada Olimpik Barcelona 1992 lalu dan memenangi perak pada Olimpik 2000.

Untuk rekod, mulai edisi 1992, acara bola sepak Olimpik hanya dikhususkan kepada skuad bawah 23 tahun (b-23).

Sementara itu, Pedri mengakui sejak tiba dan memulakan aksi sulung bagi acara bola sepak pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, dia sememangnya berharap untuk bertemu Brazil pada aksi final kelak.

“Walaupun saya tahu perlawanan ini pasti sengit dan sukar, saya lebih suka untuk beraksi berdepan pasukan handalan seperti Brazil kerana ia mempengaruhi saya dan rakan-rakan sepasukan untuk turut beraksi dengan baik.

“Saya juga berpeluang untuk berada dalam senarai elit pemain-pemain Barcelona yang pernah memenangi pingat emas Olimpik seperti Pep Guardiola, Luis Enrique, Messi dan Neymar,” katanya.