East rutherford: Joao Pedro enggan terlalu meraikan kejayaan peribadinya meskipun menjadi watak utama membantu Chelsea mara ke final Piala Kelab Dunia selepas meledak dua gol menewaskan bekas kelabnya, Fluminense 2-0 di Stadium MetLife, awal pagi tadi.
Penyerang berusia 23 tahun itu yang baharu enam hari menyertai The Blues dari Brighton & Hove Albion, membuka jaringan seawal minit ke-18 sebelum menggandakan kedudukan sejurus babak kedua bersambung.
Namun, sebaik meledak gol, Pedro hanya mengangkat tangan memohon maaf kepada penyokong Fluminense, kelab tempat dia dibesarkan, sambil menahan air mata biarpun rakan sepasukan mengerumuninya meraikan kejayaan.
“Mereka beri segala-galanya kepada saya, perkenalkan saya kepada dunia. Kalau saya di sini hari ini, semuanya bermula daripada kepercayaan mereka,” katanya yang jelas beremosi.
“Saya amat bersyukur… tapi ini bola sepak. Saya perlu profesional. Maafkan saya, tapi saya harus lakukan tugas saya.”
Pedro yang membuat penampilan sulung ketika Chelsea menewaskan Palmeiras 2-1 di suku akhir Jumaat lalu, diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama selepas hanya menjalani beberapa sesi latihan.
“Bezanya hari ini, saya bermula sebagai pemain utama. Saya ada lebih masa untuk menyesuaikan diri dan saya tahu saya perlu jaringkan gol. Yang penting, pasukan menang dan kami bermain dengan baik,” katanya dalam temu bual televisyen.
Pedro direkrut selepas Chelsea turut mendapatkan Liam Delap, sebagai usaha menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan mereka.
Chelsea akan berdepan pemenang separuh akhir kedua antara Paris Saint-Germain dan Real Madrid.
Aksi final dijadualkan berlangsung Ahad ini di Stadium MetLife.
© New Straits Times Press (M) Bhd