
Lelaki berkenaan memegang reptilia berbisa itu dengan penuh tenang dan tanpa rasa gentar.
JAKARTA – Aksi berani seorang lelaki di Indonesia yang memegang seekor ular tedung selar (King Cobra) hanya menggunakan tangan kosong menarik perhatian ramai pengguna media sosial.
Menurut laporan NDTV, menerusi video yang dimuat naik di platform X oleh pengguna @ParveenKaswan, lelaki berkenaan dilihat memegang reptilia berbisa itu dengan penuh tenang dan tanpa rasa gentar.
Lebih mengejutkan, dia tidak menggunakan sebarang peralatan keselamatan, sebaliknya hanya mengendalikan ular berbahaya itu dengan kedua-dua tangannya secara santai.
Lokasi sebenar kejadian masih belum dikenal pasti, namun video tersebut telah meraih lebih 98,000 tontonan dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
“Kalau saya, saya dah lari macam Usain Bolt,” komen seorang pengguna secara berseloroh.
“Saya tengok saja pun dah menggigil, belum pegang lagi. Mungkin saya terus pengsan,” tulis seorang lagi netizen.
King Cobra merupakan antara spesies ular paling berbisa di dunia dan tindakan lelaki ini jelas dianggap sangat berisiko.
Namun, ada juga yang mengagumi keberaniannya dan menganggapnya sebagai seorang yang berpengalaman dalam mengendalikan haiwan berbisa.
Walaupun video ini menjadi tular dan menarik perhatian, pakar keselamatan haiwan mengingatkan orang awam agar tidak meniru tindakan sedemikian tanpa pengetahuan dan latihan yang betul. – Agensi