Pegang tangan, suruh berzikir sebelum kaki kanak-kanak terpaksa dipotong

Pegang tangan, suruh berzikir sebelum kaki kanak-kanak terpaksa dipotong

mahaizura@mediaprima.com.my

Hulu Langat: “Saya pegang tangan kanak-kanak itu sambil minta dia berzikir ketika anggota bomba potong bahagian kakinya yang hancur akibat dihempap batu.

“Sebagai bapa sudah tentu saya agak sedih juga kerana saya teringat anak-anak sebaya dengannya di rumah,” demikian kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi, TPgB II Khairuddin Jamaludin.

Khairuddin mengetuai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dalam operasi menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa pada 21 Mei 2011.

Dalam tragedi itu, 25 mangsa tertimbus namun 16 daripadanya terkorban.

Beliau berkata, peristiwa itu menjadi detik paling menyentuh hati yang masih diingatinya ketika terbabit dalam misi itu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mereka mengesan tiga mangsa masih hidup dan terperangkap di celah runtuhan dengan seorang daripadanya kanak-kanak lelaki dalam keadaan kakinya hancur akibat dihempap batu besar.

“Kaki kanak-kanak itu memang sudah hancur sebab tersepit bawah batu besar jadi kami terpaksa membuat keputusan memotong bahagian itu bagi menyelamatkan nyawanya.

“Saya pegang tangan dia dan minta dia berzikir banyak-banyak sementara anggota saya potong bahagian kaki itu untuk keluarkan dia,” katanya.

Menurutnya, apa yang membuatkan dirinya kagum apabila kanak-kanak terbabit tidak menangis atau meraung kesakitan walaupun berada dalam keadaan kritikal.

“Dia seakan-akan sudah reda. Cuma tarik nafas panjang dan ikut apa yang saya cakap.

“Paling saya tersentuh hati semasa berpeluang melawat semula mangsa yang diselamatkan di hospital selepas tragedi itu, kanak-kanak itu bangun dari katil dan panggil saya dari jauh.

“Tak dapat hendak saya gambarkan dengan kata-kata perasaan itu kerana buat pertama kali dalam perkhidmatan, saya berpeluang jumpa dan bercakap dengan mangsa yang saya selamatkan,” katanya.

Khairuddin berkata, tragedi berkenaan menjadi operasi pertama selepas penubuhan pasukan STORM beberapa bulan sebelum kejadian berlaku.

Katanya, operasi itu juga menjadi titik penting dalam sejarah STORM apabila pasukan berkenaan berjaya membuktikan kemampuan mereka dalam misi penyelamatan berisiko tinggi.

“Kami berdepan situasi sangat mencabar termasuk risiko runtuhan kedua berlaku, struktur bangunan tidak stabil, keadaan gelap, hujan, bekalan elektrik terputus selain kekurangan peralatan kerana STORM ketika itu masih baru ditubuhkan.

“Namun, semua anggota penyelamat tetap meneruskan misi menyelamat dalam keadaan berisiko demi memastikan mangsa berjaya dikeluarkan.

“Alhamdulillah operasi itu berjaya dan semua mangsa hidup berjaya diselamatkan manakala jasad meninggal dunia dikeluarkan hasil kerjasama semua agensi termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”katanya.

Khairuddin berkata, walaupun 15 tahun sudah berlalu, tragedi itu tetap meninggalkan kesan mendalam kepadanya sepanjang 35 berkhidmat kerana membabitkan mangsa kanak-kanak yang menuntut ilmu agama dan menghafal al-Quran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top