Pegangan saham Felda dalam FGV naik lebih 90 peratus, rancang untuk nyahsenarai

Pegangan saham Felda dalam FGV naik lebih 90 peratus, rancang untuk nyahsenarai
Felda kini memegang lebih 91.7 peratus saham FGV dan tidak bercadang mengekalkan status penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, dengan tawaran masih dibuka hingga 15 Ogos 2025.

Felda kini memegang lebih 91.7 peratus saham FGV dan tidak bercadang mengekalkan status penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, dengan tawaran masih dibuka hingga 15 Ogos 2025.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima penerimaan yang sah untuk semua baki saham biasa dalam FGV Holdings Bhd dan memperoleh saham tawaran mencapai 91.73 peratus daripada jumlah saham terbitan FGV setakat jam 5 petang.

Menurut FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Felda memegang lebih 90 peratus daripada sahamnya dan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di Pasaran Utama Bursa Securities.

Katanya, tawaran ini masih dibuka untuk penerimaan sehingga jam 5 petang pada 15 Ogos 2025 dan Felda menggalakkan semua pemegang saham yang belum menerima tawaran untuk berbuat demikian sebelum tempoh tamat.

“Bursa Securities akan menggantung dagangan saham FGV serta-merta selepas tamat tempoh lima hari pasaran dari tarikh tutup akhir mengikut subperenggan 16.02(3) Keperluan Penyenaraian,” katanya.

Pada 2020, Felda mencetuskan tawaran pengambilalihan selepas meningkatkan pegangan dalam FGV daripada 33.66 peratus dengan membeli saham daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah pada nilai RM658 juta.

FGV yang mula disenaraikan pada 2012 pada harga RM4.55 sesaham berjaya meraih RM10.5 bilion dalam satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia. Bagaimanapun, sejak itu, harga sahamnya merosot dengan ketara.

Menurut Felda, pengambilalihan saham FGV ini bukan sahaja membuka jalan ke arah pemerkasaan

Kumpulan Felda yang lebih mampan dan berfokus, malah selari dengan aspirasi Felda dalam menjayakan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan Felda 2025-2030.

“Usaha ini diyakini akan meningkatkan daya saing dan menjamin pulangan jangka panjang kepada warga peneroka dan semua pemegang taruh,” katanya. – Bernama

Scroll to Top