anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang cedera parah ditikam menggunakan pisau di dadanya oleh seorang penagih dadah dilaporkan dalam keadaan stabil.
Mangsa, Mohd Faizal Ali, 48, sebelum ini ditikam suspek menggunakan pisau mengenai bahagian bawah dada kanannya.
Kejadian berlaku jam 5.08 petang semalam, ketika mangsa dan pasukan AADK Brickfields menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek berhampiran premis mencuci kenderaan bersebelahan Bangsar South Mall di sini.
Sumber berkata, mangsa yang dikejarkan ke wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) segera diberikan rawatan kecemasan.
“Tikaman itu bagaimanapun tidak mengenai paru-parunya. Mangsa turut cedera pada jari tangan kanannya.
“Mangsa kini masih dirawat di PPUM dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan, pihaknya sedang memburu seorang lelaki yang bertindak agresif mencederakan mangsa menggunakan pisau.
Beliau berkata mangsa, turut mengalami luka di tapak tangan dan ibu jari kanan akibat serangan itu.
“Suspek, seorang lelaki berusia 46 tahun, pada mulanya ditahan dan diarah menjalani ujian saringan air kencing. Bagaimanapun, lelaki itu enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif melarikan diri sebelum mencederakan mangsa,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, identiti suspek yang menetap di Cheras sudah dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



