Seorang lelaki menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang selepas isterinya yang merupakan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ditemukan maut dipercayai akibat ditikam di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mangsa dikenali sebagai Norhazwani Ibrahim, 35, yang bertugas di KLIA dan sebelum ini merupakan Pegawai Kastam Gred WK1 sebelum bertukar ke skim perkhidmatan AKPS berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suami mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu hadir ke balai polis bagi memaklumkan mengenai kematian isterinya.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 9.30 malam Khamis sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemukan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Nilai yang menjalankan pemeriksaan di lokasi kemudiannya mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Alzafny berkata, pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati mangsa mengalami kecederaan disyaki akibat tikaman, manakala sebilah pisau serta beberapa barang kes lain turut dirampas bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga.
Susulan itu katanya, suami mangsa direman sehingga 22 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Alzafny turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang boleh mengganggu siasatan polis.




